Platform media sosial akan dilesen

KUCHING: Kerajaan Malaysia berhasrat melaksanakan pelesenan ke atas semua platform media sosial termasuk ‘Short Message Service’ (SMS).

Ia bertujuan mengekang jenayah siber yang menular seperti scam, buli siber dan pedofilia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, meskipun platform media sosial seperti facebook dan tiktok mendapat sambutan di Malaysia, namun dari segi keselamatan ia sangat lemah.

Katanya, tindakan melesenkan platform media sosial tersebut telah menarik perhatian negara luar sehingga Malaysia sebagai negara pemula dihubungi oleh Ofcom United Kingdom, sebuah badan kawal selia media di sana sebaik selepas pengumuman dibuat.

“Tahun hadapan sesi meja bulat akan diadakan untuk negara-negara Asean dan rantaunya bagi mengemas kini pencapaian dan tindakan ke atas perlesenan ini.

“Undang-undang siber buli yang berpandukan kanun keseksaan kini mempunyai kandungan tidak jelas.

“Justeru, atas persetujuan di Parlimen sebuah jawatankuasa tindakan khas melibatkan SKMM dan badan keselamatan seperti PDRM akan ditubuhkan bagi merangka dan memperincikan takrifan dan hukuman yang akan dilaksanakan,” ujar Fahmi.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi 2023 di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, hari ini.

Fahmi berkata, tindakan paling segera adalah dengan meminda undang-undang sedia ada, untuk mewujudkan undang-undang baharu ia mengambil masa dan undang-undang tersebut lebih ketat, tegas dan hukumannya lebih berat.

Dalam majlis yang sama Fahmi juga memberitahu tentang kenaikan gaji penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji lebih tinggi jika dibandingkan dengan kumpulan pengurusan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) iaitu antara 15 hingga 42.7 peratus.

“Garis panduan untuk kenaikan gaji bagi penjawat awam ini akan diperincikan dalam bajet 2025 kerana terdapat implikasi kewangan dan saya harap penerima APC akan terus membudayakan kerja cemerlang serta perlaksanaan kenaikan gaji tersebut tidak semestinya automatik, malah berpandukan prestasi serta tiada perlanggaran integriti,” jelas beliau.

Secara keseluruhannya, Majlis АРС Kementerian Komunikasi 2023 meraikan seramai 671 orang pegawai melibatkan kementerian, jabatan dan agensi yang memperlihatkan kecemerlangan sepanjang berkhidmat bagi tahun 2023.

Selain zon tengah, zon Sarawak telah dipilih sebagai lokasi untuk diadakan Majlis APC khusus kepada 80 orang penerima iaitu 43 orang dari Jabatan Penyiaran Malaysia, 34 orang dari Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan tiga orang dari FINAS.