KAPIT: Dua kontraktor berpangkalan di bahagian ini terpilih mengendalikan pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kerja Raya (KKR).
Projek itu akan dilaksana di perkampungan Nanga Engkuah, Ulu Katibas terdiri daripada rumah panjang (RH) Assan, RH Radiah dan RH Albert Lajong membabitkan seramai 658 orang.
Menurut kenyataan media KKR, perkampungan tersebut terletak lebih kurang 50 kilometer (km) dari pekan Song dan hanya boleh diakses melalui jalan sungai.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada dua kontraktor iaitu Syarikat Bumi Mas dan Syarikat Smartech Resources.
“Kedua-dua syarikat terpilih merupakan syarikat tempatan yang berpangkalan di Kapit dan berpengalaman dalam melaksanakan projek di pedalaman,” menurut kenyataan itu.
Skop kerja ditetapkan dan dipersetujui meliputi lima projek merangkumi pembinaan jambatan pejalan kaki, pemasangan lampu solar, menaik taraf pondok menunggu di jeti dan menaik taraf laluan pejalan kaki menghubungkan tiga rumah panjang.
“Projek ini dijangka bermula pada Ogos ini dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk disiapkan,”menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 mengumumkan KAM untuk setiap Kementerian yang memberi tumpuan melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa terpinggir yang mempunyai liputan kemudahan 50 peratus ke bawah.
Perkampungan Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song dicadangkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MoF) bagi tujuan tersebut.
