SPAOH: Agro Bank diminta membuka semula cawangannya yang ditutup di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah berkata, cawangan itu ditutup apabila Pejabat Daerah Kecil Spaoh lama diroboh
bagi memberi laluan kepada pejabat baharu beberapa tahun lalu.
“Pejabat baharu itu kini sudah siap dan masyarakat di sini menjangkakan bank itu akan membuka semula cawangannya di sini. Tetapi malangnya, belum dan mereka masih menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di projek perintis rumah hijau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh dekat sini hari ini.
Sementara itu, Uggah gembira apabila projek fertigasi di sekolah tersebut berkembang dengan sayur-sayuran dan tanaman sejuk.
“Ini sebenarnya untuk menjadi kes pertunjukan pertanian moden kepada penduduk di sini,”tambahnya dan berharap pihak sekolah juga dapat melakukan pertanian hidroponik.
