SUKMA XXI Sarawak pertama guna teknologi penyiaran bertaraf Olimpik

KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak bakal menjadi yang pertama menggunakan sistem teknologi penyiaran canggih bertaraf Sukan Olimpik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah ini diharap mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengikuti perkembangan semasa temasya sukan itu.

“Saya difahamkan teknologi yang digunakan adalah yang paling canggih, dibawa dari Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Media Utama SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, SUKMA kali ini turut menampilkan aplikasi khas bagi memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan SUKMA menerusi telefon bimbit.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.