LAWAS: Petani, nelayan dan penternak digalak mengunjungi pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Pameran itu akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mulai 11 hingga 22 September ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pameran MAHA merupakan salah satu landasan untuk menimba ilmu teknologi baharu dalam sektor pertanian.
“Menerusi pameran itu, kita dapat melihat bagaimana pembangunan dari segi teknologi baharu dalam bidang pertanian dan boleh diaplikasikan di tempat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Walkabout Jualan Agro Madani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) di sini, hari ini.
Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli, Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
