AUSTRALIA: Delegasi Kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berlepas ke Australia untuk mengkaji usaha pemuliharaan marin dan pelancongan mampan.
Bagi tujuan itu, delegasi telah melakukan lawatan penanda aras ke Terumbu Sawar Besar dan tapak pengurusan hidupan liar terkemuka di Queensland, Australia.
Sebelum itu, rombongan delegasi tersebut diberi taklimat daripada ahli biologi marin tempatan mengenai strategi perlindungan terumbu yang dilaksanakan di Terumbu Sawar Besar, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ia bertujuan mendapatkan pandangan tentang integrasi usaha pemuliharaan marin dengan pelancongan bagi mempromosikan pemuliharaan alam sekitar sambil menyokong ekonomi setempat.
Delegasi juga melawat Taman Buaya Marineland Melanesia yang terkenal kerana menempatkan buaya terbesar di dunia dalam kurungan.
Pemiliknya, Toody pada awalnya memberikan taklimat terperinci mengenai usaha pemuliharaan buaya di sana yang mana ianya menekankan kepentingan keseimbangan antara pemuliharaan hidupan liar dengan pelancongan serta penglibatan komuniti.
Awang Tengah bersama rombongan seterusnya melawat Hartley’s Crocodile Adventures’ untuk mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Jabatan Alam Sekitar, Sains dan Inovasi (DESI) Queensland.
Perbincangan tersebut merangkumi amalan pengurusan buaya yang inovatif serta penerokaan peluang untuk produk buaya, menekankan potensi pembangunan ekonomi mampan melalui penggunaan sumber semula jadi yang bertanggungjawab.
Lawatan ini mencerminkan dedikasi Sarawak untuk mengguna pakai amalan terbaik global dalam pengurusan sumber semula jadi dan pembangunan mampan.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datuk Saferi Ali, Kontroller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Jack Liam dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Naroden Majais.
