KUCHING: Kadar kesuburan di negara ini masih rendah dengan seorang wanita hanya melahirkan seramai 1.6 orang anak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini mengikut kajian yang dilakukan oleh kementerian itu.
“Bagaimanapun, di peringkat Asia kadar itu masih tinggi berbanding negara seperti Jepun, Singapura, Korea, dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sempena Karnival Hari Keluarga Kesejahteraan dan Kesihatan Remaja di Surau Darul Muttaqin Kampung Sourabaya, di sini, hari ini.
Nancy berkata, berikutan itu kementerian berkenaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan memperkenalkan pelbagai program baharu bertujuan meningkatkan jumlah populasi negara ini.
“Jadi kita ada macam-macam program untuk menggalakan orang berkahwin dan mendapatkan anak, itulah usaha yang tidak dapat kami hentikan, banyak lagi program,” katanya.
Beliau juga percaya melalui penganjuran program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual terbabit boleh memberi penjelasan lebih mendalam kepada masyarakat tempatan berhubung masalah pergaulan bebas kalangan orang muda.
