Bilangan KIR miskin tegar data e-Kasih berkurangan

SIBU: Inisiatif Kerajaan Sarawak diyakini akan terus mengurangkan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sarawak dalam data e-Kasih tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, seramai 30,346 KIR miskin tegar dalam data itu pada 31 Januari 2023.

Katanya, ini telah berkurangan kepada 3,571 KIR miskin tegar pada 31 Julai 2024 dan antara penyebabnya ialah peningkatan pendapatan melalui inovasi sosial dan dasar kerajaan.

“Kita juga berkeyakinan bahawa segala bentuk inovasi sosial melalui pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak dapat menambah pendapatan isi rumah dan mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Wanita 2024 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, pihaknya sehubungan itu mengharapkan Premier Sarawak dapat meneruskan pemberian Geran Modal Pemerkasaan Wanita sebanyak RM2.3 juta untuk tahun 2025.

“Pada tahun 2023, geran sebanyak 2.3 juta telah memberi manfaat kepada 1,274 usahawan wanita dan secara keseluruhan jumlah pendapatan dijana RM757,269.87,” tambahnya.