Dana khas bantu usahawan wanita Sarawak perluaskan perniagaan

SIBU: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan dana khas sebanyak RM25 juta dalam bentuk pinjaman bagi menyokong usahawan wanita.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu buat mereka yang mencapai kejayaan dan mahu mengembangkan perniagaan di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pemohon hendaklah mempunyai rekod transaksi komersial yang baik serta menunjukkan inovasi kewangan dalam pengurusan perniagaan mereka.

“Usahawan perlu ada usaha sendiri dan tidak hanya menerima bantuan kewangan sahaja, ia terpulang bagaimana mereka menguruskan perniagaan melalui inovasi kewangan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) turut meneruskan pelaksanaan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak berjumlah RM2.5 juta.

Geran berbentuk peralatan perniagaan berjumlah RM2,000 secara one-off kepada setiap penerima yang layak itu merupakan bantuan khusus kepada usahawan wanita Sarawak kumpulan B40 bertujuan memperkukuh dan memajukan perniagaan mereka.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada tokoh-tokoh wanita Sarawak 2024 yang terpilih berdasarkan tema sambutan, iaitu “Sarawak Women In Innovation and Technology’.

Anugerah Premier Sarawak kategori Kepimpinan Wanita: Umang Nangku Jabu.

Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita:
Lim Hii Ching

Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita:
Datin Sultan Patimah SKS Ismail

Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas (Innovation & Technology):
Prof. Ts. Dr. Siti Kudnie Sahari

Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita:
Hannah Toh Hong Na

Anugerah Pertubuhan Cemerlang:
Destiny For Children Sibu.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang.