Premier Sarawak terima anugerah kepimpinan ASEAN

KUALA LUMPUR: KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan ASEAN Economic Club menganugerahkan “Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang Hebat ASEAN” kepada Premier Sarawak.

Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Pengerusi KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Majid Khan dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh, di sini, semalam.

Anugerah ini bagi mengiktiraf mereka yang menunjukkan kepimpinan luar biasa, memberikan sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing, dan memberi impak positif kepada komuniti atau industri mereka.

Kriteria untuk menerima anugerah ini termasuk kepimpinan yang terbukti, rekod kejayaan, sumbangan kepada komuniti ASEAN dan pematuhan kepada prinsip pembangunan mampan.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak telah lama dikenali dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dengan komitmen membangunkan 10 gigawatt (GW) tenaga bersih daripada tenaga hidro dan turbin gas menjelang 2030.

Katanya, Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan negara-negara serantau dalam membangunkan Grid Tenaga ASEAN di dasar laut.

“Ini sebagai sebahagian daripada usaha membekalkan sumber tenaga elektrik di wilayah Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Bintulu bakal menjadi hab tenaga boleh diperbaharui Sarawak apabila rakan kongsi dari Korea dan Jepun kini telah memasuki tahap Front-End Engineering and Design (FEED) untuk menghasilkan hidrogen hijau menjelang 2027.

“Sarawak akan mengeksport kembali hidrogen ke kedua-dua negara dan sebahagian akan digunakan untuk kegunaan domestik dengan kapasiti gabungan sebanyak 240,000 tan setahun,” katanya.