MoU dimeterai lindungi, pulihara alam sekitar

KUCHNG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (M0U) antara Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dan tiga entiti lain.

MoU pertama ialah antara SFC dengan PETRONAS, kedua antara SFC dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan ketiga antara SFC dengan Pengurusan Kelestarian Alam Sekitar (ESG).

MoU antara antara SFC dengan Petronas adalah kolaborasi penyelesaian berasaskan sumber, MoU kedua kolabolarasi penyelesaian tenaga diperbaharui dan MoU ketiga kolaborasi penyelesaaian dan pemuliharaan biodiversiti.

Berucap pada majlis itu, Abang Johari yakin Sarawak boleh mencapai kelestarian pembangunan dan tenaga boleh diperbaharui yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 dengan menggunakan teknologi.

“Kita sudah ada teknologi yang diperlukan dan berharap boleh memacukan strategi pembangunan yang dirancangkan,” tegas beliau sambil memberi contoh pada majlis pembukaan rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 baru-baru ini.

“Majlis pembukaan rasmi SUKMA Ke-21 itu semuanya menggunakan teknologi termasuk penggunaan dron. Atas kejayaan itu, saya yakin Sarawak boleh maju ke hadapan sambil melindungi alam sekitar, sumber alam dan biodiversiti,” katanya.

Premier Sarawak menegaskan, Sarawak akan terus berusaha melindungi dan memulihara 75 peratus kawasan hutan di negeri ini untuk kepentingan masa depan dan menyumbang kepada perubahan iklim di dunia.

Usaha melindungi dan memulihara hutan itu merangkumi kawasan paya bakau, tegas beliau.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SEDC, Datuk Amar Abdul Aziz Hussain, Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kelestarian Petronas, Charlotte Wolff-Bye.