LIMBANG: Masyarakat Limbang menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang jalan dan premis masing-masing, di sini, hari ini.
Mereka terdiri daripada enam komuniti MADANI Limbang kemudian menyambut Konvoi Kembara Merdeka Kibar Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Sarawak dari Lawas.
Sebelum itu, komuniti terbabit menyertai program anjuran JAPEN Limbang iaitu Jiwa Komuniti Madani@Parlimen sebagai saluran tepat mempromosi dan menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan ke peringkat akar umbi.
Sebelum rombongan konvoi terbabit bergerak ke CIQ Tedungan, keterujaan masyarakat Limbang terutamanya dari etnik Bisaya ditonjolkan dengan menyambut ketibaan kenderaan berhias bendera di Simpang Kampung Baru Danau dengan persembahan Gendang dan Tarian Ancayau iaitu tarian pahlawan masyarakat Bisaya.
Ini diikuti upacara menyerahkan cenderamata Tanjak Kaum Bisaya kepada Ketua Konvoi dan bersama merakamkan gambar kenangan.
Konvoi itu disertai pelbagai agensi persekutuan dan negeri seperti Majlis Daerah Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen serta banyak lagi dan destinasi seterusnya bandar raya Miri.
GAMBAR:JAPEN
