Sarawak sedia kerjasama dengan PETRONAS terokai pengeluaran tenaga alternatif

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam menerokai pengeluaran tenaga alternatif selain minyak dan gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana masalah iklim dunia dan Sarawak juga ada tenaga alternatif terbabit seperti hidrogen.

“Kita boleh berbincang bersama untuk menerokai tenaga-tenaga lain selain daripada minyak dan gas kerana saya berpendapat bahawa nilai minyak dan gas akan menurun dari konteks global business sebab wujudnya tenaga alternatif yang akan digunakan oleh industri,” katanya selepas mempengerusikan 3rd Annual Strategic Dialogue (ASD) Sarawak – Petronas di Petronas Twin Tower, di sini pada Rabu.

Melalui dialog itu yang dihadiri Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) juga telah memantapkan kerjasama dua hala dengan PETRONAS dalam penerokaan minyak dan gas di luar pantai Sarawak.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak pula bekerjasama dalam meneroka pengeluaran tenaga alternatif, industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan PETRONAS.

Dialog berlangsung kira-kira dua jam setengah itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Selain itu, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Penasihat Peguam Negeri Dato Sri JC Fong turut serta dalam dialog berkenaan.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK