KUCHING: Sarawak berharap tindakan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk mengurangkan rangkaian penerbangan ketika ini hanya sementara dan tidak menjejaskan industri pelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengurangan rangkaian penerbangan terutamanya keluar dan masuk ke Sarawak sudah tentu memberi kesan kepada industri pelancongan.
“Saya harap ini buat sementara waktu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pertukaran Memorandum Perjanjian antara Business Events Sarawak (BESarawak) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk bekerjasama kajian impak ekonomi dan warisan yang pertama di Malaysia di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata perubahan pada jadual penerbangan yang berlaku minggu lalu memberi kesan kurang baik kepada industri pelancongan termasuk ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak.
”Penumpang yang terpaksa menunggu lama akibat penerbangan tertunda selama sembilan atau tujuh jam.
“Situasi ini semestinya tidak begitu baik terutamanya untuk industri pelancongan dan juga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.
”Sudah pasti anda (syarikat penerbangan) boleh memberi mereka kupon makanan tetapi itu tidak cukup baik,” jelasnya.
