KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menggesa syarikat yang diberi tanggungjawab menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan lancar.
Beliau berkata, penyampaian perkhidmatan itu hendaklah mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan sebagaimana syarat yang terkandung di dalam perjanjian kontrak.
“Harapan saya agar syarikat menghargai dan menggunakan kepercayaan yang diberikan ini dengan sebaiknya,” katanya pada majlis penyerahan surat setuju terma (SST) bagi penyenggaraan jalan persekutuan LPB Sarawak di pejabat Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.
Syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. dilantik untuk melaksanakan penyenggaraan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 829.40 kilometer (km) dengan nilai kontrak sebanyak RM69 juta bagi tempoh kontrak selama tiga tahun.
Penyerahan SST itu disampaikan menteri berkenaan kepada Ahli Lembaga Pengarah, PBH Asset Management Sdn Bhd, Nor Zalida Ahmad sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan, Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Pengarah Infrastruktur, JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti, Helena Remeo.
Alexander menegaskan oleh kerana kerja penyenggaraan jalan itu melibatkan fasiliti awam pastinya ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Kalau kita tak buat kerja (menyenggara jalan) dengan terbaik, kalau ada orang mati, kita berdosa,” tegas beliau.
Beliau berkata, syarikat konsesi dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan yang terdiri dari kerja rutin (sepanjang tahun), kerja berkala pavemen, kerja berkala bukan pavemen dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari masa ke semasa.
JKR Sarawak pula merupakan rakan strategik KKR dan bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia dalam perkara berkaitan operasi, penyenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma dan syarat oleh syarikat, tambahnya.
Hadir sama Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.