BANGKOK: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) mahu belajar dari Thailand berhubung sudut kepakaran untuk memajukan sektor pertanian di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Thailand terkenal dengan industri makanannya yang sangat maju, bermula daripada bahan penanaman sehingga rangkaian pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.
Malah katanya, Thailand juga mempunyai keseluruhan rantaian bekalan yang sangat canggih.
“Mereka tersusun dan ini sesuatu yang kami mahu contohi.
“Satu lagi nilai tambah ialah Thailand menikmati rangkaian pasaran di seluruh dunia yang membantu petani mereka menjual produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum mengetuai delegasi BDDA melawat Wilayah Ratchaburi yang terkenal dengan spesis kelapa aromatik, mangga, jambu batu, nanas dan buah-buahan tropika lain.
Katanya, pemilihan Thailand juga kerana iklim di negara tersebut yang hampir sama dengan negara dari rantau ASEAN.
“Perjalanan ini adalah satu pendedahan yang sangat baik, pengalaman pembelajaran kepada pasukan BDDA.
“Ia memberi makanan untuk difikirkan dalam usaha mereka untuk membantu petani Betong membangun, mengkomersialkan usaha mereka untuk memasarkan produk ke luar negeri,” tambah beliau.
Tegasnya, matlamat utama BDDA adalah untuk mencari jalan dan kaedah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di Betong.
Namun tegasnya agensi itu perlu mempunyai perancangan, bimbingan dan pengurusan yang betul bagi keseluruhan rantaian bekalan supaya mereka boleh menghasilkan bukan sahaja kuantiti tetapi kualiti juga.
Sementara itu, Uggah berkata BDDA mahu bekerjasama dengan Pusat Inovasi Makanan Betagro di Thailand dalam memasarkan produk kami melalui kepakaran, inovasi dan pasaran mereka.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap, ADUN Saribas Datuk Mohamad Razi Sitam, ADUN Beting MaroRazaili Gapor, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
