BINTULU: Projek pemasangan empat lampu solar dan pembinaan jalan berturap sepanjang 1.5 kilometer (km) di Rumah Emi Mesa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, di sini, dijangka siap tahun ini.
Pembantu Peribadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Shahrezy Sulaiman berkata projek ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024.
“Apabila siap tahun ini, komuniti rumah panjang 18 pintu bukan sahaja akan menikmati akses jalan raya lebih baik tetapi juga sumber tenaga lebih stabil dengan tiang solar yang dipasang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pemasangan lampu tenaga solar dan pembinaan jalan berturap sepanjang 1.5km terbabit di Rumah Emi Mesa di sini.
Shahrezy berkata, projek merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup di kawasan luar bandar.
