BINTULU: Kampung Haji Ismail di Kuala Tatau terpilih mewakili Bahagian Bintulu dalam Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pencapaian ini adalah hasil kerja keras semua pihak yang memastikan kampung ini terus maju dan sejahtera.
“Saya berterima kasih kepada Ketua Kampung, Jus@Musa dan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Haji Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat projek jalan bertar dilaksanakan di kampung itu yang sebahagian usaha kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur luar bandar pada Selasa lalu.
Iskandar juga memberikan penghargaan kepada Penghulu Haliza Mudin, yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kampung terbabit.
