JKKSK Sarawak selesaikan 946 permohonan, percepat proses kewarganegaraan

KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Sarawak berjaya menyelesaikan 946 permohonan Perkara 15A yang tertangguh selain mempercepatkan proses berkaitan kewarganegaraan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan JKKSK yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri menghasilkan kesan positif.

Katanya, dalam mesyuarat 17 Ogos lalu, sebanyak 306 permohonan telah dibentangkan dan daripada jumlah tersebut, 225 permohonan iaitu 74 peratus diluluskan manakala 81 permohonan ditolak.

Antara sebab penolakan adalah kesukaran dihadapi ibu bapa mendaftar perkahwinan sah di Malaysia semasa berurusan dengan konsulat asing sehingga mengakibatkan beberapa anak tidak sah taraf gagal dalam permohonan mereka, katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat JKKSK Perkara 15A Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan, kuasa untuk meluluskan permohonan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala JKKSK bertanggungjawab untuk membuat verifikasi terhadap permohonan yang dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.

JPN Sarawak membentangkan 10 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A termasuk lapan permohonan untuk Anak Tidak Sah Taraf dan dua permohonan untuk Anak Jagaan dalam mesyuarat terbaru ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua.