Atlet Sarawak buru kejuaraan Para SUKMA Ke-21

KUCHING: Atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak diyakini mampu menyamai kejayaan atlet SUKMA untuk muncul juara pada edisi Ke-21 yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau optimis sasaran 83 pingat emas yang dipertaruhkan mampu direalisasikan bagi membolehkan Sarawak merampas semula kejuaraan temasya dwitahunan itu.

Sebagai suntikan moral, beliau memgumumkan pemenang pingat Para SUKMA akan menikmati ganjaran setara yang diberikan kepada atlet SUKMA iaitu RM15,000 untuk pemenang emas, RM5,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa).

“Jika sasaran 83 pingat emas tercapai, jumlah keseluruhan insentif yang akan diberikan mencecah lebih RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sei John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Chef De Mission kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Mohamad Razi Sitam serta tetamu kehormat lain.

Untuk rekod, Para SUKMA Ke-21 akan mempertandingkan sejumlah 10 jenis iaitu para renang, para olahraga, boccia, para powerlifting, para catur, para memanah, para tenpin boling, para lawn bowls, para ping pong dan para badminton.

Ia membabitkan 328 acara sukan yang akan berpusat di sekitar bandar raya Kuching.