KUCHING: Keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak merupakan khazanah yang mesti dihargai, dikekalkan dan dipelihara sepanjang masa.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ini dibina di atas asas yang kukuh melalui keringat dan darah nenek moyang terdahulu.
Tegasnya, wang dan kekayaan tidak boleh membeli kedamaian dan keharmonian sebaliknya ia hanya dapat diperoleh melalui penerimaan dan penghormatan antara satu sama lain.
“Sarawak unik dan istimewa rakyatnya dapat meraikan perayaan utama seperti Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Wesak dan Gawai Dayak dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan.
“Perayaan yang diraikan berlatar belakangkan persefahaman dan rasa hormat yang tulen antara satu sama lain sememangnya intipati keamanan dan keharmonian Sarawak sebenar yang perlu dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Krismas hari ini.
Tun Taib turut memuji kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana tidak meminggirkan kepentingan penganut agama lain dengan memperuntuk ana besar melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Dengan penubuhan UNIFOR, Kerajaan Sarawak dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada penganut Kristian untuk membina gereja di seluruh Sarawak termasuk agama lain seperti Buddha, Hindu dan Bahai juga mendapat bahagian bantuan kewangan yang saksama,” ujar Tun Taib.
