SIBU: Pesta Air Sibujaya 2024 yang memasuki edisi ketiga berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung termasuk dari Bintulu.
Pesta air mirip ‘Songkran Water Festival’ di Thailand itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.
Katanya, sambutan masyarakat terhadap pesta air itu sangat menggalakkan lebih-lebih semasa cuti sekolah dan memberi ruang untuk mengukuhkan ikatan keluarga.
Katanya, pesta itu juga memberi manfaat kepada penduduk khususnya usahawan dan peniaga tempatan.
“Saya difahamkan ada yang datang dari Bintulu dan sebagainya bersama-sama dalam festival ini,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah ini adalah kali ketiga beliau hadir ke Pesta Air Sibujaya dan sambutan kali ini adalah yang terbaik.
Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak Amcorp dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kerana tampil dengan idea penganjuran pesta ikonik itu.
Jelasnya, kementeriannya (MTCP) akan sentiasa menyokong program sedemikian agar terus dianjurkan dan menjadi program tahunan di Sibujaya.
GAMBAR:UKAS
