Pembangunan Gedong terap corak kepimpinan Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam

GEDONG: Daerah Gedong akan dibangun secara menyeluruh dengan mengambil inspirasi daripada kepimpinan agung Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, corak kepimpinan Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam, yang dikenali sebagai Al-Amin dalam menguruskan hal dunia dan akhirat harus dicontohi.

Menurutnya, pembangunan bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal tetapi juga pembangunan modal insan.

“Ini adalah contoh agung yang patut kita ikuti. Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam membangunkan Madinah dengan keilmuan dan kebijaksanaan, dan kita juga harus menerapkan pendekatan serupa di Gedong,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong Tahun 1446H/2024M di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong hari ini.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong turut menekankan bahawa pembangunan kawasan itu turut merangkumi Samarahan hingga ke perkampungan sekitar.

Katanya, pembangunan infrastruktur di Gedong akan diselaraskan dengan usaha memperkasa ilmu masyarakat setempat.

Terdahulu itu, Abang Johari menyampaikan hadiah kepada para pemenang kontinjen perarakan Maulidur Rasul.

Johan perarakan dimenangi Surau As Shobirin dari Kampung Tengah Lama Gedong, tempat kedua Masjid Nurul Huda, Kampung Ensengei dan ketiga oleh Surau Assyakirin, Kanchong Baru Gedong.

Manakala bagi kategori keseluruhan, johan dimenangi oleh Surau Assyakirin.

Majlis itu turut dihadiri ADUN Simunjan Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.