BINTULU: Layang-layang gergasi berbentuk harimau dan beruang menjadi tarikan utama Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) Ke-17 di Bintulu tahun ini.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Muhammad Yakup Kari berkata, dua layang-layang gergasi setinggi enam meter dari Perancis terbabit dibeli BDA sebagai daya tarikan pengunjung festival itu tahun ini terutamanya kanak-kanak.
“Layang-layang gergasi ini bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan acara ‘unboxing’ dua layang-layang gergasi terbabit di Taman BIKF, Lasar Kenyalang, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi BDA Datuk Haidar Khan Asghar Khan serta rombongan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan(IRSDA) yang diketuai Timbalan Pegawai Tadbir Khasnya, Suhaili Mohamed.