KAPIT: Keberanian empat anggota rondaan komuniti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dari Daerah Julau memadam dan mengawal kebakaran mendapat penghargaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jabatan Sukarelawan Malaysia menerusi kenyataan memberitahu penghargaan itu diberikan semasa beliau mengadakan lawatan kerja ke Daerah Kapit, hari ini.
Empat anggota RELA itu termasuk Micheal Medan Lucas, Sebastian Reging Luching, Jackie Minggu dan Luke Paul Jantan.
”Penghargaan itu diterima atas keberanian dan tindakan pantas mereka sebagai ’first responder’ bagi menyelamatkan warga emas yang terperangkap dalam kebakaran rumah kedai di Pekan Julau, di sini, 11 September lalu.
Ketika kejadian, anggota RELA yang sedang melakukan rondaan keselamatan telah bertindak sebagai ’first responder’ untuk memadam dan mengawal kebakaran daripada terus merebak.
”Tindakan pantas anggota RELA yang memecahkan pintu pagar berkunci telah berjaya menyelamatkan seorang warga emas iaitu Chieng Ung Huong, 72 yang terperangkap di tingkat atas rumah kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.