KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk menyediakan komputer riba percuma kepada 5,000 pelajar Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelajar terbabit sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.
“Ini mengesahkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan kos sara hidup, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn yang merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2024 di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak sedang membangunkan Dasar Bakat Sarawak.
Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga melihat peluang untuk pelaburan sektor swasta dalam inisiatif pendidikan dan latihan yang menyokong pembangunan kemahiran, termasuk program bimbingan.
“Di bawah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, mereka sedang membangunkan Dasar Bakat Sarawak untuk memenuhi permintaan ekonomi baharu, terutamanya dalam sektor hidrogen dan digital dengan sasaran 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh yang juga Pengerusi TEGAS, Timbalan Menteri Pengangkutan (Darat dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil merangkap Timbalan Pengerusi Tegas, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Adana Jed.
