Bersatu hati, setia jamin kestabilan parti – Uggah

SIBU: Keputusan golongan belia untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerusi sayap baharu pergerakan belia merupakan langkah bijak dan tepat, kata Timbalan Yang di-Pertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, pucuk pimpinan parti amat memerlukan sumbangan dan idea baharu golongan muda untuk membantu kemajuan pembangunan masa depan.

“Parti PBB memerlukan pandangan serta idea-idea baharu orang muda (belia) untuk membawa parti dan ahli-ahlinya ke era yang lebih maju mengikut peredaran masa.

“Parti ini memerlukan pemimpin muda seperti anda (belia) dengan mengemukakan idea, visi, aspirasi dan tenaga demi kemajuan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Meraikan Pergerakan Belia Parti PBB di Hotel RH Sibu, di sini malam tadi.

Hadir sama, Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Ketua Wanita Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Pemuda Miro Simuh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N8 Satok, Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Fazzrudin Abdul Rahman.

Sambil berkongsi kerjaya politik dan pengalaman menyertai parti itu pada 1977, Uggah menjelaskan beliau membuat keputusan tepat dan tidak menoleh ke belakang sejak itu.

Ini kerana katanya, beliau yakin Parti PBB menjadi tulang belakang
Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan membawa pembangunan kepada negeri ini.

“Semangat ini yang saya mahu ada pada anda dan ahli parti secara keseluruhan demi perpaduan dan kestabilan parti dan negeri.

“Kita semua mesti bersatu hati, semangat setiawan serta bekerjasama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *