‘Lipan’ bakal ubah wajah industri kelapa sawit

SUBIS: Mesin penuai buah sawit hasil inovasi Sarawak Plantation Berhad (SPB) bakal menjadi ‘game changer’ dalam keseluruhan industri kelapa sawit di negeri ini. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mesin diberi nama ‘lipan’ yang direka SPB hasil kolaboratif dengan pihak China itu akan membawa perubahan besar terhadap industri kelapa sawit.

Selaras dengan hasratnya yang mahu melihat perubahan dalam proses penuaian buah sawit dengan menggunakan teknologi mesin, beliau optimis jentera inovatif ini akan menyelesaikan masalah buruh yang sering menjadi kekangan dalam industri tersebut.

“Ini adalah ‘game changer’. Apabila saya mengambil alih daripada Allahyarham Tok Nan, saya telah mencadangkan supaya cara kita menuai kelapa sawit mesti berubah dan menggunakan teknologi mesin.

“SPB (Sarawak Plantation Berhad) telah menjalinkan kolaboratif dengan rakan dari China untuk mereka mesin kita yang boleh digunakan untuk menuai buah sawit. Hari ini ia menampakkan kejayaan. Tahniah SPB,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian mesin penuai buah sawit di Ladang Subis, Jalan Miri – Bintulu hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Pengerusi Eksekutif SPB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Tambahnya, inovasi SPB itu akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh dari negara luar.

“Kedua, untuk mendapatkan tenaga buruh dari luar, terdapat proses yang perlu diselesaikan iaitu imigresen dan buruh. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya lapan bulan.

“Ia mewujudkan rungutan dalam industri, namun kita perlu patuh kepada undang-undang,” katanya lagi.

Premier Sarawak turut mencadangkan agar SPB meneroka potensi daun pokok kelapa sawit yang telah dituai untuk dijadikan sumber biomass.

Ke arah itu, beliau mencadangkan SPB mereka mesin yang berupaya untuk memotong dan menuai daun pokok serta buah sawit secara serentak.

Mesin penuai buah sawit hasil SPB yang diberi nama ‘Lipan’ ini dilengkapi dengan kawalan jauh tanpa wayar, membolehkan seorang operator mengendalikan proses penuaian dengan mudah, pantas dan efisien.
Ia berupaya menuai sejumlah 300 tandan atau tiga tan metrik buah sawit sehari.

Setiap mesin tersebut berupa melakukan kerja-kerja penuaian meliputi kawasan seluas lima hektar sehari dengan penggunaan minyak sebanyak dua liter per jam.

Terdahulu, Premier Sarawak menyaksikan demonstrasi mesin tersebut menuai buah kelapa sawit.

Beliau turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) membabitkan SPB, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd, Sarawak Plantation Services Sdn Bhd, PALMECO, Institute of Malaysian Plantation and Commodities, Sarawak Skills, Kolej Yayasan Melaka Sdn Bhd dan Kolej Teknikal Miri.