SARATOK: Golongan pesara dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dengan iklan serta tawaran lumayan perniagaan tidak wujud yang akhirnya akan merugikan mereka sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sejak kebelakangan ini golongan pesara kerajaan sering menjadi sasaran sindiket penipuan ‘love scam’ kerana menyedari kumpulan berkenaan memiliki banyak wang simpanan.
“Banyak berita telah kita dengar dan baca di akhbar serta di media sosial bahawa golongan pesara kerajaan itu ditipu sehingga ratusan ribu ringgit hasil daripada wang persaraan mereka,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung pemilihan ahli jawatankuasa baharu Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak (PPKS) Unit Saratok kedua bagi Sesi 2025-2027 di Dewan Masyarakat Sri Krian.
Mohamad Duri turut menasihatkan orang awam supaya lebih peka serta berhati-hati dengan modus operandi penjenayah siber, dan membuat semakan kesahihan sesuatu perkara itu terlebih dahulu bagi mengelak daripada menjadi mangsa kes tipu.
“Sekiranya dihubungi oleh orang yang mencurigakan, jangan berikan apa-apa maklumat akaun bank atau butir-butir peribadi kepada pemangil dan jangan sesekali memindahkan wang ke akaun pihak ketiga.
“Segera matikan talian dan hubungi atau hadir ke Balai Polis berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Mohamad Duri memuji kesungguhan ahli-ahli PPKS dalam melaksanakan aktiviti persatuan yang dianggotai 145 ahli pesara yang aktif di daerah Saratok.
“Golongan pesara perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi membantu mengekalkan keharmonian serta menjamin kemajuan dan kemakmuran negeri Sarawak,” katanya.
