Sarawak guna digital bangunkan bandar

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerapkan transformasi digital dalam pembangunan bandar yang strategik dan inklusif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, transformasi ini menjadikan bandar di Sarawak mampu berkembang dan membangun.

Jelas beliau, Sarawak mulai melabur dalam bandar pintar sebagai inisiatif untuk mengoptimumkan pengurusan bandar dan menambah baik kualiti hidup penduduk.

“Artificial Intelligence (AI) dan ‘Internet of Things’ (IoT) sedang disepadukan ke dalam sistem infrastruktur untuk meningkatkan kecekapan dalam bidang seperti sebagai pengurusan lalu lintas, pengagihan tenaga dan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Masa Depan Sarawak di sini, hari ini.

Jelasnya, sistem trafik pintar telah pun dilaksanakan di ibu kota untuk mengurangkan kesesakan dan mengurangkan pelepasan karbon.

Ujarnya, sistem ini menggunakan data masa nyata untuk memantau aliran trafik, membenarkan pelarasan dinamik pada isyarat lalu lintas dan meningkatkan kecekapan lalu lintas secara keseluruhannya.

Inisiatif bandar pintar ini katanya bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kehidupan di bandar malah sejajar dengan matlamat Sarawak untuk mewujudkan sebuah bandar yang cekap dan mampan.

“Dengan usaha ini, Sarawak dapat membangun dengan mengekalkan kemampanan alam sekitar di samping mempertingkatkan kebolehdiamannya di
kawasan bandar,” jelas beliau lagi.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.