MIRI: Kerajaan Sarawak menggubal undang-undang untuk mempromosi dan membangunkan projek Pengurangan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di luar pesisir perairan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, entiti minyak dan gas Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dilantik sebagai pengurus sumber untuk mempromosi dan membangunkan tapak penyimpanan karbon tersebut.
Ketika ini katanya, terdapat tiga projek CCUS termasuk satu yang melibatkan kerjasama bersama konsortium minyak dan gas dari Jepun.
“Kerangka undang-undang ini membolehkan kita membangun dan mempromosi agenda hijau untuk menyimpan karbon dalam perairan kita.
“PETROS sebagai pengurus sumber untuk mempromosi dan membangunkan tapak penyimpanan karbon. Semua pihak yang berminat terhadap projek CCUS harus berhubung dengan PETROS sebagai pengurus sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pembukaan Ibu Pejabat Operasi Huluan Shell Malaysia (OSSM) di Miri Times Square malam tadi.
Terdahulu, Abang Johari mengajak Shell untuk menjalinkan kerjasama erat dengan PETROS dalam merancakkan lanskap minyak dan gas di Sarawak.
Katanya, Shell merupakan rakan strategik kerajaan Sarawak yang telah mentransformasikan Miri dari perkampungan kecil menjadi bandar yang moden.
“Saya gembira menyatakan Shell telah menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk memajukan masa depan Sarawak.
“Anda bersama-sama Kerajaan Sarawak telah mengubah Miri daripada sebuah kampung kecil kepada sebuah bandar moden.
“Mari teruskan perjalanan pertumbuhan di Sarawak terutamanya dalam tenaga hijau sama ada CCUS atau teknologi lain yang lebih hijau,” tambahnya lagi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman.
