Perkhidmatan bas awam percuma bermula di Miri

MIRI: Kerajaan Sarawak kini menyediakan perkhidmatan bas awam percuma menggunakan sebanyak 14 bas pintar baharu jenis Volvo Euro 3 kepada masyarakat di Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini juga menjadikan Miri bandar raya pertama di Sarawak menyediakan perkhidmatan bas awam yang percuma bermula 1 Oktober 2024.

Katanya, bas pintar baharu terbabit dengan kapasiti sebanyak 33 tempat duduk penumpang dan juga ruang untuk seramai 21 penumpang berdiri.

“Pengenalan bas pintar baharu ini menandakan satu langkah berani ke hadapan dalam komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyediakan pengangkutan awam yang lebih selamat, lebih dipercayai dan percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika semasa Majlis Perasmian The Miri Smart Buses yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Terminal Bas Miri, di sini.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pengusaha Miri City Bus Sdn Bhd yang diamanahkan menyedia dan mengendalikan perkhidmatan bas awam dengan bas pintar baharu terbabit.