Hubungi Talian Kasih 15999 jika berlaku kes dera

LINGGA: Semua pihak, sebagai individu mahupun komuniti, perlu bersama-sama cakna terhadap hak kanak-kanak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, sekiranya berlaku kejadian mencurigakan terhadap kanak-kanak dapatkan
pertolongan segera dengan menghubungi Talian Kasih 15999 atau melalui Whatsapp 019-2615999.

Kejadian itu mungkin membabitkan kanak-kanak yang didera oleh ibu bapa atau ahli keluarga di dalam rumah, katanya semasa merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Peringkat Daerah Lingga Tahun 2024 di Dewan Nangkai, Stumbin dekat sini.

Beliau berkata, talian Kasih 15999 memudahkan urusan orang ramai untuk melaporkan sebarang perlakuan pengabaian atau kes penderaan membabitkan kanak-kanak.

“Adalah penting untuk kita tahu apa tindakan yang perlu diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian,” katanya dan mengucap syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kerana berjaya menganjurkan program penting itu.

Program advokasi itu fokus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak kanak-kanak dalam mendapat kehidupan, diberi kasih sayang, perlindungan dan keselamatan, kebajikan dan pendidikan.

Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali; wakil Pegawai Daerah Lingga, Jim Karren Max Kinchai; Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak, Tay Choo Seng dan Penghulu Wan Amit Wan Kamil.