TYT terima kunjungan hormat Jawatankuasa Pengelola Program LBAS

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pengelola Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Rombongan tersebut diketuai Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Pengelola Lan Berambeh Anak Sarawak 2024, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

Ketika ditemui selepas kunjungan tersebut, beliau menjelaskan kunjungan jawatankuasa ini bertujuan menjemput Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan juga Toh Puan untuk hadir sama dalam program Lan Berambeh Anak Sarawak Edisi Ke-15 pada 19 Oktober ini di Malaysia International Trade and Exibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur.

Ujarnya, ia kali pertama program ini dihadiri oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Dijangka 6,500 tetamu akan hadir pada Majlis Makan Malam yang akan diadakan di MITEC.

“Manakala untuk aktiviti di sebelah pagi, anak-anak Sarawak dijemput hadir bertemu dan menyertai program-program yang diadakan oleh pelbagai kementerian dan agensi- agensi dari Negeri Sarawak,” katanya.

Selain itu ujarnya, program ini juga memberikan ruang kepada siswa dan siswi Sarawak untuk berkongsi idea dan pandangan mereka dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sesi ‘Townhall’ yang akan diadakan nanti.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir.Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Haji Kepli serta tetamu kehormat yang lain.

GAMBAR:UKAS