Yayasan OBYU laksanakan CSR

KUCHING: Yayasan OBYU menyumbang sebuah van jenazah kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL), hari ini.

Van yang bernilai RM131,195 itu diserah oleh Ahli Lembaga Amanah Yayasan OBYU, Dato Ahmadi Yusoff kepada Pengerusi LAKIL Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu di sini, hari ini.

Sebelum ini, Yayasan OBYU mengumumkan bahawa pihaknya akan menyumbang van berkenaan kepada LAKIL beberapa minggu lalu.

Untuk rekod, Yayasan OBYU setakat ini telah menyumbang hampir RM10 juta untuk pelbagai tujuan termasuk mengadakan program biasiswa untuk anak-anak daripada keluarga asnaf di Sarawak.

Yayasan OBYU ditubuh pada 2018 yang merupakan wadah dermawan untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) OBYU.

Selain itu, yayasan itu juga memberi tumpuan dalam pendidikan, aktiviti keagamaan dan membantu komuniti yang kurang berkemampuan.

Projek utama semasa Yayasan OBYU ialah pembangunan masjid Diraja berkapasiti 3,600 jemaah di Eco Arrdence, sebuah perbandaran yang sedang dibangunkan oleh cabang hartanah OBYU, Cascara Sdn Bhd di Setia Alam, Selangor.