KUCHING: Sarawak kini mempunyai jumlah Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) tertinggi berbanding negeri-negeri lain, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, seramai 211 pegawai berkenaan untuk membudayakan integriti di dalam organisasi dan memperkukuhkan budaya tersebut dalam masyarakat.
Seramai 25 pegawai CeIO ditempatkan di pelbagai Kementerian, Jabatan (64 pegawai), Badan-Badan Berkanun (55 pegawai ), Pihak Berkuasa Tempatan (28 pegawai ), Pejabat Residen Negeri (27 pegawai ) dan Agensi-Agensi lain (12 pegawai).
“Jumlah ini menjadikan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai bilangan CeIO teramai berbanding negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) di Kompleks Islam Kuching, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata beliau percaya bilangan yang ramai ini dapat merealisasikan hasrat pihaknya untuk menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai CeIO di setiap agensi di Sarawak.
“Yang lebih penting ialah CeIO melaksanakan peranan dan fungsi mereka dengan cemerlang, penuh akauntabiliti dan berintegriti,” katanya.
Menurutnya, apabila CeIO menjalankan tugas mereka dengan baik, ia tidak hanya memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan, tetapi juga memastikan pentadbiran yang lebih telus dan bebas dari amalan rasuah.