KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yakin dengan jumlah peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2025 akan membolehkan banyak projek infrastruktur asas dilaksana di luar bandar.
Menurutnya, projek infrastruktur seperti jalan raya utama, jalan kampung, projek bekalan air terawat termasuk bekalan elektrik sangat penting bagi menaikkan taraf kualiti hidup rakyat.
“Ini adalah tambahan RM1 bilion berbanding Belanjawan 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Parlimen, di sini, hari ini.
Belanjawan 2025 bertema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahterakan Rakyat.
Ahmad Johnie menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menaikkan jumlah peruntukan khas kepada Sarawak dan Sabah sebanyak RM600 juta untuk tahun depan berbanding hanya RM300 juta sebelum ini.
“Saya juga menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memperbanyakkan Perkhidmatan Komuniti Bergerak,” katanya.
Katanya, perkhidmatan itu amat penting bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang dan jauh untuk keluar mendapatkan Perkhidmatan seperti di Pulau Bruit, Daro.
Sementara itu, katanya empat perkhidmatan Bank Simpanan Nasional (BSN) bergerak yang ditambah menjadikan 12 terutamanya di Sarawak akan memudahkan penyaluran bantuan kerajaan.
Menerusi belanjawan itu juga beliau yakin perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan ditambah baik akan memberi kemudahan dan kesenangan untuk rakyat di luar bandar.
”Selain itu, kita juga menyambut baik pengumuman RM500 juta oleh Perdana Menteri untuk menaik taraf prasarana asas bekalan air bersih dan bekalan elektrik di 5,150 rumah di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Dalam pada itu, ujarnya peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah di Sabah dan Sarawak diharapkan dapat membaik pulih atau membina baharu sekolah-sekolah daif di negeri ini.
