KUCHING: Pengamal media di negeri ini diingat agar terus menjaga integriti dan etika kewartawanan dalam menyampaikan maklumat tepat dan berkualiti kepada masyarakat.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, wartawan membentuk pemikiran awam dalam kalangan komuniti melalui penyampaian mesej yang sahih dan relevan.
Namun tegasnya, kualiti kewartawanan dinilai berdasarkan tahap integriti yang tinggi.
“Sekiranya pengamal media memiliki integriti, maka isi kandungan dan maklumat yang disampai akan menjadi penanda aras untuk dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Penutupan Program Latihan Untuk Wartawan Sarawak di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia di sini, hari ini.
Dengan kemajuan platform digital masa kini, wartawan jelasnya perlu lebih proaktif dalam menyediakan laporan yang tepat sebelum diakses oleh masyarakat, bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu.
Katanya, ledakan teknologi hari ini membolehkan tiada lagi batasan dalam penyebaran maklumat, di mana sesuatu peristiwa yang berlaku di mana sahaja boleh diikuti secara langsung.
Abang Johari turut menzahirkan
terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI) atas usaha berterusan organisasi tersebut dalam meningkatkan mutu dan kualiti kewartawanan di Sarawak.
Kursus Kewartawanan 2.0: Sentimen Analisis & SWOT Analisis yang dianjurkan oleh MPI berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober, melibatkan pengamal media dari Kuching, Miri dan Sibu.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail.
