KOTA SAMARAHAN: Lembaga Air Kuching (LAK) akan membina dua tangki aras tinggi (HLT) membabitkan kos RM30.5 juta.
Ia bagi memenuhi permintaan penggunaan air terawat yang semakin meningkat di Samarindah dan Muara Tuang serta kawasan sekitarnya.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur supaya memberi kelulusan segera dua tapak bagi pembinaan tangki aras tinggi tersebut di DUN Stakan. Ia bersaiz 4.5 mililiter (ml).
Katanya, peruntukan bagi pembinaan dua tangki aras tinggi tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dan mahu projek ini disegerakan.
“Saya minta agar pembinaan dipercepatkan dalam masa 12 bulan supaya dapat disiapkan.
“Walaupun pada asalnya saya katakan 24 bulan, namun meminta agar dipercepatkan kepada 12 bulan kerana keperluan yang amat serius untuk bekalan air di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Auditorium Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak, di sini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek bekalan air di Stakan.
Sebagai penyelesaian sementara, beliau berkata, beberapa tapak di sekitar DUN Stakan sedang dikenalpasti untuk diletakkan tangki sementara bagi membekalkan air kepada penduduk di sekitar kawasan itu.
Tambahnya, LAK juga telah mengambil langkah segera dengan menaik taraf Loji Rawatan di Batu Kitang yang membekalkan air di kawasan Stakan dan Samarahan.
Katanya, loji rawatan itu kini berkapasiti 868 juta liter air sehari selepas ia selesai dinaik taraf baru-baru ini.
Pada masa kini, bekalan air terawat ke kawasan Samarindah dibekal secara terus dari Loji Rawatan Air Batu Kitang dan permintaan harian kawasan tersebut sebanyak 4 JLH.
Selesai taklimat, Julaihi serta rombongan melawat tapak Projek Bekalan Air High Level Tank (HLT1 & HLT2) di Samarindah, Stakan Substation 132/33/11kV di Lorong Stakan 5 dan Projek POP 2 (Point of Presence) di SK Binyuk.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim.
