Karnival ‘Aram Bepengerai Serta Regas’ di Rumah Jimun Dideng

BINTULU: Karnival ‘Aram Bepengerai Serta Regas’ diadakan di Rumah Jimun Dideng, Sungai Sekutan, Ulu Sebauh, di sini, hari ini.

Karnival itu diadakan sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Sebauh 2024.

Antara diadakan ialah saringan kesihatan NHSI,PEKA 40, saringan Sarcopenia dan Dementia, saringan tanpa nama, saringan kesihatan wanita, saringan pemeriksaan mata dan kesihatan gigi serta perkhidmatan X-Ray dada.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ANMS berperanan membudayakan aktiviti fizikal, pengurusan tekanan, pemakanan sihat dan menghentikan tabiat merokok.

“Saya menyokong penuh ANMS yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika diwakili Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan untuk merasmikan karnival terbabit.

Dr Rundi berkata, berdasarkan data KKM, satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap kencing manis, tiga daripada 10 mengalami darah tinggi, dan empat daripada 10 mempunyai kolesterol tinggi.

“Sekiranya kita masih alpa dan mengamalkan sikap tidak endah dengan kesihatan, tidak hairanlah jumlah rakyat Malaysia yang hidup dengan penyakit akibat gaya hidup tidak sihat meningkat,” katanya.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV, Aids dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ruziana Miss, Ketua Sektor HIV, Aids dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Fazidah Yuswan dan Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu.