SCHB inisiatif baharu JKMS bantu warga emas

KOTA SAMARAHAN: Inisiatif baharu Senior Citizen Health Benefit (SCHB) menyasarkan seramai 100,000 warga emas menjelang akhir tahun ini.

Inisiatif itu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kemudahan itu disediakan di klinik panel yang dilantik JKMS dan beroperasi di Sarawak.

Di bawah inisiatif itu katanya, warga emas dengan pendapatan isi rumah RM7,000 dan ke bawah sebulan berhak menerima bantuan untuk rawatan pesakit luar tanpa tunai di klinik panel dengan had maksimum RM500 setiap orang setahun.

“Antara kriteria kelayakan bagi SCHB adalah warganegara Malaysia yang merupakan pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’ dan berumur 60 tahun dan ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Bahagian Samarahan 2024 bertemakan ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’ di Dewan Serbaguna Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata kementeriannya menggunakan negara luar sebagai penanda aras bagi penyediaan keperluan dalam mewujudkan bandar mesra warga emas bagi golongan berumur, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum tahun 2028.

Bagi tujuan itu, tiga universiti di sini dilantik sebagai jawatankuasa konsortium untuk menjalankan kajian terhadap profil warga emas dalam tempoh sembilan bulan sebagai persediaan Kerajaan Sarawak menghadapi status negeri tua pada 2028.

Fatimah kemudiannya menyampaikan Anugerah Tokoh Warga Emas bagi kategori lelaki kepada Chek Bujang dari Asajaya dan Nasiban Habibulah Khan dari Sadong Jaya (kategori wanita).