Premier Sarawak terima Anugerah Kepimpinan Sri Pertiwi dari PKMS

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) menobatkan Premier Sarawak dengan Anugerah Kepimpinan Sri Pertiwi.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dinobatkan anugerah itu ketika makan malam sempena Ulang tahun Ke-85 PKMS, di sini, malam tadi.

Acara itu juga dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Yang di-Pertua PKMS, Dr Wan Ali Madehi berkata, anugerah sulung yang pernah disampaikan PKMS terbabit kepada kepimpinan Sarawak atas usaha gigih Premier Sarawak dalam membangunkan dan mengangkat kedudukan Sarawak ke arah lebih progresif dan makmur.

“Dalam tempoh tujuh tahun kepimpinan Premier, Sarawak berkembang menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan mencapai kedudukan yang berprestij,” katanya.

Beliau berkata, ini sehingga menjulang nama Sarawak di persada antarabangsa dengan inisiatif-inisiatif berkesan dalam mengangkat Sarawak sebagai negeri maju pada tahun 2030.

Sementara itu, Abang Johari berkata,  dalam arus pemodenan ini, PKMS harus bergiat aktif dalam memelihara dan melestari budaya Melayu supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Dengan adanya Program Zikir Marhaban dan juga Showcase Persandingan Pernikahan Melayu Sarawak ia akan mengangkat PKMS sebagai pertubuhan aktif,” katanya.

Beliau juga dimaklumkan PKMS akan melancarkan buku Adat Pernikahan Melayu Sarawak semalam yang membuktikan persatuan itu komited memelihara kebudayaan dan warisan Melayu.

Disamping itu, Abang Johari mahu PKMS tidak melupakan perjuangan pengasas mereka seperti Muhammad Rakawi, Johari Anang dan Abdul Rahman Kasim.

“Selain itu tidak terlupakan kepada perjuangan 338 orang kakitangan awam yang sanggup berkorban tenaga dan pangkat mereka dalam menyokong gerakan antipenyerahan kepada penjajahan British pada tahun 1946,” katanya.

Beliau berkata, ini sangat signifikan kepada perjuangan untuk kemerdekaan Sarawak pada fasa awal.