Lapangan terbang, syarikat penerbangan baharu bakal pacu ekonomi Sarawak

KUCHING: Pembinaan lapangan terbang baharu Sarawak dan syarikat penerbangan sendiri akan meningkatkan akses dan memacu kegiatan ekonomi di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun Sarawak akan bermula dengan kapal terbang kecil, perancangan jangka panjang untuk memiliki pesawat lebih besar yang akan membawa lebih ramai pelancong dan pelabur.

“Kita mencontohi Dubai, yang asalnya sebuah padang pasir tetapi kini sebuah pusat ekonomi dunia, hasil pembangunan lapangan terbang canggih dan besar,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Karnival UDA 2024 di Galeri Jualan Neu Pendington, di sini hari ini.

Katanya, prasarana ini penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi khususnya sektor pelancongan dan pelaburan strategik lebih-lebih lagi di bandar raya ini.

Katanya, dengan Kuching kini menjadi tapak Geopark yang kaya dengan destinasi bersejarah seperti Gua Niah dan Mulu akan merancakkan potensi besar dalam sektor pelancongan.

“Inilah gunanya usaha seperti pembinaan lapangan terbang baru dan memiliki syarikat penerbangan sendiri yang akan meningkatkan akses dan memacu kegiatan ekonomi di Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaburan daripada UDA Holdings Berhad khususnya, yang kini melaksanakan projek Neu Pendington membantu Sarawak mencapai matlamat ini.

Neu Pendington, yang bakal menjadi salah satu stesen bagi Aliran Transit Automasi (ART) dengan laluan menuju ke Petra Jaya, diyakini akan memberi kemudahan dan meningkatkan aksesibiliti dalam bandar.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Rakayah Hamdan.