KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Koumniti, Dato Sri Fatimah Abdullah mengetuai rombongan dari Sarawak mengadakan lawatan sambil belajar ke Beijing, China baru-baru ini.
Lawatan mulai 28 Oktober lalu hingga 2 November itu untuk menimba pengalaman mengenai dasar dan inovasi China dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE), kesejahteraan komuniti dan penjagaan warga emas.
Sepanjang lawatan itu, rombongan dari Sarawak menimba pengalaman daripada institusi dan agensi terkemuka China termasuk Kementerian Pendidikan, tadika No.1 Beijing, Pusat Penyelidikan Penuaan China (CRCA), Kementerian Hal Ehwal Awam dan Jawatankuasa Kebangsaan Penuaan China.
Semasa berada di Beijing, rombongan berkenaan turut melawat pusat kebudayaan dan penyelidikan terkemuka China seperti Tsinghua University’s Future Laboratory dan Pusat Sains dan Budaya Soong Ching Ling untuk golongan muda.
Lawatan itu mendatangkan hasil dengan mendedahkan permahaman mendalam mengenai komitmen China dalam keterangkuman ECCE, kesejahteraan komuniti dan sokongan menyeluruh warga emas.
Dalam satu kenyataan semalam. Fatimah berkata, Kementerian Pendidikan China merintis model inklusif dan kesalinghubungan ECCE yang fokus kepada peluang kesaksamaan untuk kanak-kanak.
Hasil lawatan itu, rombongan dari Sarawak mendapati Tadika No. 1 Beijing dengan cemerlang melaksanakan pusat pendidikan kanak-kanak, latihan guru dan menerapkan budaya tradisional dengan kurikulum moden sejajar Menurut dengan pencapaian matlamat pendidikan Sarawak.
Menurut Fatimah, kerangka pendekatan China dalam dasar penuaan termasuk insurans gabungan berperingkat dan sistem penjagaan kesihatan dan diperkukuhkan lagi dengan dasar menyokong sukarelaan warga emas dan libat urus komuniti.
‘Kempen Silver Hair’ menggalakkan warga emas kekal aktif menyumbang kepada masyarakat, memupuk kesejahteraan mental dan emosi.
Semasa melawat Tsinghua University’s Future Laboratory, rombongan itu didedahkan dengan inovasi dan teknologi penjagaan warga emas dan produk yang boleh meningkatkan kualiti hidup warga emas.
Inovasi dan teknologi itu, katanya, boleh dicontohi bagi meningkatkan kesejahteraan warga emas di Sarawak.
Kerangka dasar berasaskan data, katanya, membolehkan CRCA menyusun pelan strategik lima tahun menangani cabaran penuaan melalui keselamatan sosial, jagaan kesihatan komprehensif dan inisiatif masyarakat akar umbi.
Dasar itu, tambahnya, memberi pengajaran berharga kepada Sarawak untuk memiliki strategi sendiri.
Sebagai langkah susulan daripada lawatan itu, Fatimah menegaskan, kementerian bercadang mewujudkan kolaborasi dengan agensi utama China dan menjemput wakil dari ECCE dan sektor penuaan China menyertai persidangan antarabangsa prasekolah dan penuaan Sarawak 2025.
Beliau berkata, kementeriannya menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan China atas kejayaan menganjurkan lawatan itu yang akan mewujudkan lebih banyak kolaborasi pada masa depan untuk manfaat semua lapisan masyarakat di Sarawak.