Pelan pembangunan Pekan Daerah Kecil Sungai Asap dilulus

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) merangka pelan pembangunan bagi Pekan Daerah Kecil Sungai Asap di Kapit.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pelan ini diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA) 31 Oktober 2024.

Katanya, pelan ini dijadikan rujukan untuk perancangan pembangunan masa depan di Daerah Kecil Sungai Asap. Ia sentiasa dikemaskini sekiranya terdapat kelulusan pertapakan yang baharu, pecah bahagi tanah (AVTC) dan kelulusan-kelulusan lain.

Jelas beliau, pelan pembangunan Sungai Asap itu melibatkan dua kawasan pusat pembangunan tempatan iaitu Cadangan Pusat Tempatan Sungai Asap Satu dan Cadangan Pusat Tempatan Sungai Asap Dua.

“Cadangan pusat satu itu melibatkan kawasan Uma Balui Ukap, Uma Bakah, Uma Daro, Uma Kelap, Uma Balui Liko, Uma Bawang, Uma Lahanan, Uma Belor, Uma Nyaving dan Uma Kulit.

“Manakala, cadangan pusat kedua melibatkan kawasan Uma Lesong, Uma Juman, Uma Ukit, Uma Penan Talun dan Uma Badeng,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murun) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.