Tuntutan Kerajaan Sarawak terhadap sumber minyak, gas berasas

KUCHING: Tuntutan Kerajaan Sarawak terhadap sumber minyak dan gas di dasar laut serta tanah bawah pelantar benua berasas, sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.

Katanya, Sarawak menjunjung tinggi hak-hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang negara dan negeri, termasuk hak untuk mengeluarkan lesen penerokaan, pajakan perlombongan serta sijil perlombongan petroleum.

“Ordinan Perlombongan Minyak merupakan undang-undang yang berada dalam bidang kuasa perundangan Sarawak untuk digubal.

“Ordinan ini kekal sah, berkuat kuasa dan belum dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Ibrahim menegaskan bahawa hak Kerajaan Sarawak untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undangnya tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Malah, beliau menyifatkan sebarang tindakan yang mencabar hak dan kuasa perundangan Sarawak sebagai melanggar peruntukan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan mengenai pembangunan Pusat Inovasi Digital di kawasan Satok yang dijangka siap dalam masa terdekat.

“Pusat inovasi ini memiliki potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dengan menyediakan ruang kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadikan pusat ini sebagai pangkalan operasi mereka,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar Pusat Sukan Satok dinaik taraf, bagi meningkatkan kapasiti pusat tersebut supaya dapat menampung lebih ramai penduduk setempat bagi melaksanakan aktiviti serta pertandingan sukan.