Perkenalkan semula subjek sains tulen

KUCHING: Subjek sains tulen dimohon agar diperkenal semula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nanga Medamit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau.

Dato Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) berkata, beliau difahamkan sejak 2016 pembelajaran subjek sains tulen seperti biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan telah diberhentikan di sekolah itu.

Katanya, SMK Nanga Medamit satu-satunya sekolah menengah di kawasan DUN Batu Danau dan hampir keseluruhan pelajar adalah anak-anak dari luar bandar.

“Ketiadaan pengajaran subjeck sains tulen ini sudah tentu menjejaskan peluang anak-anak daripada kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Paulus berkata, ini terutamanya peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat martikulasi dan meneruskan pelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di masa akan datang.

“Justeru, saya mohon dan berharap pihak berwajib memperkenalkan semula subjek ini,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga memohon supaya Program Pemantapan Pendidikan Sarawak Sarawak (SEEP) yang akan diperkenal pada 2025 memasukkan SMK Nanga Medamit dalam program ini.