KUCHING: Agensi berkaitan diminta mempercepatkan pelaksanaan Projek Pemulihan Koridor Sungai Seblak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Dato Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) berkata, projek tersebut perlu disegerakan bagi mengelakkan koridor sungai itu runtuh.
Bagaimanapun, beliau dimaklumkan projek itu masih lagi dalam peringkat reka bentuk walaupun pihak konsultan projek telah dilantik pada 2022, katanya.
“Projek yang sepatutnya sudah bermula, namun saya telah dimaklumkan projek ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas tentang Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohd Chee Kadir sehubungan itu memohon agensi berkaitan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek terbabit memandangkan keadaan koridor kini sudah tenat.
Ini kerana katanya, beliau kerap menerima aduan daripada pekebun-pekebun kecil yang terjejas akibat kejadian ini.
Selain itu, Chee Kadir mencadangkan agar penduduk terutamanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberi lesen memburu atau menangkap populasi buaya yang semakin bertambah di DUN Kabong.
