Segerakan projek tangki air aras tinggi baharu Kampung Hijrah – Awla

KUCHING: Projek pembinaan tangki air aras tinggi baharu yang bakal dibina di Kampung Hijrah, di sini perlu disiapkan segera, kata ADUN Simunjan, Awla Dris.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penduduk di sekitar kawasan menikmati akses air bersih dan terawat.

‘’Projek ini perlu dipercepatkan agar keperluan asas penduduk dapat dipenuhi segera. Keperluan untuk memastikan bekalan air yang stabil dan berkualiti adalah hak asasi setiap individu di kawasan ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, 2024 Dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Bagi 2025 di Persidangan DUN di sini, hari ini.

Awla turut membangkitkan isu peningkatan kewujudan premis judi yang bertopengkan kedai 24 jam kian bertambah di kawasan luar bandar termasuk di Simunjan.

‘’Ketagihan judi atas talian juga menyuburkan jenayah seperti kecurian, keberhutangan yang tinggi, rasuah, perceraian, vandalisme dan lain-lain lagi yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada Sarawak.

‘’Justeru, saya memohon agar pihak bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi lain dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau turut memohon agar isu berkaitan mini stadium dan rangkaian telekomunikasi diberi perhatian segera daripada pihak berwajib.

‘’Saya turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk menyelesaikan Pusat Tahfiz di Simunjan.

“Ini adalah langkah penting dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia,’’ katanya.