KUCHING: Hasil kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Pusat Belia Antarabangsa KL dan Kumpulan Belia Persatuan Kemanusian Malaysia (Myhumanterian) berjaya melaksanakan projek bekalan air ke enam rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, program secara gotong royong bersama pertubuhan terbabit dilaksana sejak 2019.
“Enam rumah panjang mendapat manfaat daripada program itu ialah Long Puak, Uma Akeh, Long Sayan, Long Latei, Long Wat, Long Suling dan SK St Pius Long San,” katanya semasa membahas Belanjawan Sarawak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Beliau berkata, setiap rumah panjang terbabit mengandungi 50 hingga 100 pintu dan kejayaan melaksanakannya turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Residen, Pejabat Daerah, JBALB Miri, PDRM, Jabatan Hutan, Jabatan Kesihatan Bahagian Miri, Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan UPM Bintulu.
“Sekarang kita dalam perancangan melaksanakan program serupa di Rumah Panjang Nahah A dan Rumah Panjang Long Apu,” katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak yang menyediakan peruntukan di bawah Projek Rakyat.
“Kita turut merancang melaksanakan program itu di 20 rumah panjang dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau menambah, kawasan antara Long Beku dan Long San Ulu Baram adalah permata pelancongan yang tersembunyi.
Permata pelancongan tersembunyi itu hendaklah dijaga dan digazet sebagai taman semula jadi dan dibangunkan menjadi daya tarikan pelancongan dengan menyedia jalan asses, rumah rehat, tandas dan laluan pejalan kaki.
Dennis turut mencadangkan supaya daerah kecil Long Lama yang terletak di pekan Long Lama dipindahkan ke Long San disebabkan daerah kecil Long Lama telah dinaik taraf menjadi daerah penuh.
Pemindahan ke Long San itu akan membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.
